Sunday, July 11, 2010

WACANA PERDANA

Selesai sudah wacana perdana sebentar tadi yang diadakan di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, Kelantan. Detailnya boleh dilihat dari banner seperti dibawah.

Kesimpulan yang aku boleh buat pada wacana kali ini, adalah satu perbahasan yang lari dari tajuknya iaitu 'Bolehkah Melayu Bersatu?'. Dua ahli panel UMNO dilihat lebih banyak menghentam PAS daripada membicarakan tentang tajuk yang diberikan, terutama sekali ahli panel Lokman Nor Adam dan tidak kurang juga dari Ustaz Afendi (ustaz umno). Hujah-hujah yang dikemukakan oleh Ustaz Mujahid (PAS) nampak bersahaja tanpa emosi keterlaluan disulam dengan hujah Dr Asri (bekas Mufti Perlis) yang lebih kepada nasihat dan teguran agar perbahasan lebih sistematik dan berlandaskan kepada tajuk asal. Namun kedua-dua ahli panel dari UMNO masih gagal berada di landasan sebenar malah lebih kepada berhujah secara emosional keterlaluan. Naif dalam peraturan perbahasan menyaksikan Lokman Nor Adam sentiasa menyampuk hujah-hujah ahli panel lain.

Antara isu-isu yang diketengahkan sepanjang perbahasan adalah isu-isu semasa seperti isu judi, isu royalti minyak di Kelantan, isu liwat DSAI, isu politik di Perak namun dibangkitkan jugak isu-isu lama umpama isu amanat Haji Hadi dan isu hukum hudud.

Pendapat peribadi aku, ahli panel Ustaz Afendi dari UMNO Rantau Panjang langsung tidak relevan untuk berada dipentas sebagai salah seorang ahli panel kerana dunia tahu bagaimana keadaan perpecahan UMNO Rantau Panjang itu sendiri menjadikan dirinya dilihat gagal menyatukan puak UMNO sendiri jadi mana mungkin beliau mampu menyumbang ke arah menyatukan Melayu diperingkat nasional. Layaknya beliau berada di bawah pentas dan menjadi pemerhati sahaja. Beliau mencadangkan PAS dibubar dan semuanya masuk kedalam UMNO barulah sama-sama dapat melaksanakan cara pemerintahan ISLAM. Ini hujah yang cukup tidak cerdik, soalannya apakah UMNO tidak cukup pengetahuan ISLAM sehingga nak tunggu ahli-ahli PAS berada dalam UMNO baru nak laksanakan ISLAM? Kalaulah UMNO itu berjuang berlandaskan ISLAM (kata beliau), persoalannya apakah yang telah UMNO lakukan selama lebih 50 tahun memerintah agar ISLAM dilihat tertinggi yang boleh mereka banggakan? Ayat yang aku dengar setiap tahun adalah hanya penerapan nilai-nilai ISLAM, itu sahaja, baru nak terap, ibaratnya baru nak semai benih! Yang lebih ketara lagi sebagai ustaz dalam UMNO cuba memberi keterangan nas yang tidak betul dan di tegur oleh bekas mufti Perlis secara spontan. Sementara Lokman Nor Adam pula lebih emosional dan gagal memberikan hujah yang berpijak dibumi nyata dan dilihat lebih kepada hujah melepaskan geram. Hujah tidak cerdik yang dikemukakan beliau menyebabkan aku tertanya-tanya, adakah ini rupabentuk orang yang di berikan jawatan sebagai panel pemikir JASA.

Tak perlu bicara banyak tentang Dr Asri yang memang terserlah hujahnya yang cukup bernas walaupun dilihat sebagai orang tengah, lebih bersikap pendamai namun kerana tinggi ilmunya maka tokoh ini nampak menonjol kebijaksanaannya. Tabik kepada Ustaz Mujahid yang bagi aku mampu berdepan dengan dua UMNO yang gelojoh dan 'ganas' walaupun dengan hujah yang bersahaja masih boleh menangkis serangan-serangan puak UMNO.

Aku cadangkan penganjur terus menjemput puak-puak UMNO yang begini sebagai ahli panel, biar rakyat lihat dan nilai inilah kualiti pemimpin-pemimpin UMNO yang mereka sanjung selama ini. Gagal dalam memberikan penjelasan kepada rakyat tentang sesuatu isu malah lebih suka melaksanakan agenda kepentingan diri. Jelas mereka ini gagal menegur pemimpin tertinggi mereka dalam menjalankan dasar-dasar pemerintahan, lebih suka menjadi 'pok ko' menerima apa saja kata-kata ketua mereka, fear factor masih tebal dalam corak politik mereka.

Akhir kalam, kepada puak UMNO, cukup sudah PAS di khianati sebelum ini, lihatlah sejarah PAS di Kelantan. Tak usahlah bermimpi nak satukan MELAYU, cita-cita PAS nak kuatkan ISLAM tanpa menzalimi orang lain. Lihatlah setelah lebih 50 tahun diberi peluang memerintah, apa yang dah UMNO lakukan, tahap pemikiran rakyat masih dibelengu, kehidupan sosial yang bertambah parah, sekatan maklumat masih digunakan, kebebasan bersuara terhad, kekayaan dikaut sesetengah golongan dan banyak lagi.

WalLah hu a'lam.

No comments:

BERITA TERKINI