Saturday, January 31, 2009

TAHNIAH - 10th FOLLOWER


- TERIMA KASIH -















http://srikandiputri.blogspot.com

Blogger (gambar) adalah follower aku yang ke 10 dan dia berhak mendapat hadiah dari aku, dah memang niat, cuma tak diumumkan aje.......surprise.
Tunggu hadiah saudari minggu depan.

DI UMUMKAN - hadiah menanti follower yang ke 25 !

Sunday, January 25, 2009

HANYA JAUHARI YANG KENAL MAKNIKAM

TAHNIAH & SYABAS kepada Datuk Nasarudin Hashim, ADUN Bota. Selamat datang dan berjuang bersama PKR. Sesungguhnya keputusan tepat YB tentunya disambut gembira oleh rakyat di DUN Bota. YB telah buktikan kepada mereka yang masih bersekongkol dengan UMNO/BN bahawa inilah perubahan drastik yang mesti dilakukan, bukan kepentingan diri yang diutamakan tetapi rakyat terbawah yang perlu dibela.
Menyusul selepas Dato' Zahar di PJ Selatan, kehadiran YB akan lebih menyedarkan lagi mereka agar segera meninggalkan 'kapal' yang hampir karam. Omongan kosong nak memulihkan UMNO/BN sering di laungkan setiap kali menerima kekalahan di setiap kali pilihanraya, bermula dari PRU 12, selepas PRK Permatang Pauh dan seterusnya PRK KT yang baru lalu. Keluarnya YB dari UMNO/BN dan bersama PKR khasnya dan PR umumnya, menyerlahkan lagi kredibiliti dan integriti YB sebagai pejuang rakyat, kerana mereka yang keluar UMNO/BN tapi berada diluar mana-mana platform perjuangan (mana-mana parti) ibarat berjuang untuk peribadi, bukannya berjuang untuk rakyat.
Sekarang kita tanya pula, Mr Muthupalaniappan yang baru saja dipecat dari MIC, nak berjuang atas platform mana? Mr Muthu tak sedar lagi ke, dalam MIC mana ada demokrasi, nak bertanding tak boleh, tegur tak boleh, komen tak boleh jadi tunggu apa lagi. Begitu juga 2 orang timbalan menteri yang juga dari MIC, beria berjuang untuk rakyat dalam membantu kes A. Kugan, salah juga dan bakal dikenakan tindakan disiplin. Ayuh Mr Muthu, Datuk K. Devamany dan Senator T. Murugiah segeralah keluar dari 'kapal' yang nak tenggelam tu, jangan sampai rakyat menolak anda satu hari nanti.
'Ang pau' yang mahal telah diberikan oleh Datuk Nasarudin kepada UMNO/BN sempena Tahun Baru Cina, lebih-lebih lagi kepada Datok Tajol Rosli, tak kurang juga kepada Tok haji yang baru balik dari Mekah dan mungkin juga 'ang pau' sempena bakal bersaranya PM. Sememangnya YB memilih landasan yang betul dalam karier politik YB, justeru keputusan YB pandai memilih yang mana baik dan yang mana buruk dapat menyedarkan kawan-kawan YB yang lain. Sesungguhnya YB termasuk dalam golongan........hanya jauhari yang kenal maknikam.

GONG XI FA CHAI

Ucapan aku tujukan kepada seluruh kaum Tionghua di negara tercinta Malaysia ini, khas kepada seluruh pejuang-pejuang dalam Pakatan Rakyat serta ahli keluarga mereka, diharapkan sepanjang tahun lembu ini akan lebih memberi makna dalam perjuangan yang masih belum selesai, menambahkan keceriaan dalam hidup dan meningkatkan semangat dalam membela rakyat.

Friday, January 23, 2009

TERSIRAT DIBALIK TERSURAT

1. Gelanggang dah ditutup, juara dah dinobatkan, tapi masih ada suara-suara sumbang membicarakan tentang prk kt, satu jari menuding menuduh kepada yang bertanggungjawab akan kecundangnya mereka, tiga jari berbalik kepada sipenuduh, malang sungguh mereka ini dari golongan yang tidak pernah belajar dari pengalaman dan pengajaran. Agar mereka segera insaf.

2. Ketua dipertanggungjawabkan kerana silap memilih calon, benarkah? Atau sengaja memasang perangkap, agar kegagalan dihempaskan kepada timbalan kerana timbalanlah yang menjadi kepala perang di kt, sekaligus menjatuhkan reputasi timbalan untuk diangkat menjadi ketua. Biarlah mereka berperang saraf sesama mereka.

3. Timbalan sebagai kepala perang di kt, adakah sesungguh hati berperang nak menang? Atau gimik semata tapi hakikatnya kalah lebih baik dari menang supaya ketuanya terus ditekan akibat memilih calon yang silap, sekaligus lebih cepat diangkat menjadi ketua. Berebutlah mereka berdua, yang diperbodohkan ialah golongan akar umbi kata mereka yang terus menyokong memkhinzir buta.

4. Tun DM pulak, kata Ketua banyak buat silap, betulkah? Dan mengaku jugak dia pun buat silap pilih Ketua. Silap Ketua takkan berlaku kalau Tun DM tak buat silap dahulu. Yang sebenarnya dua-dua silap, menerajui kerajaan yang 'sakit' dan mengetuai parti yang 'tenat'.

5. Tak salah keluar parti, kata Tun DM, walaupun satu masa dulu kerana partilah dia berada pada status sekarang, kerana dah tergelincir dari landasan perjuangan asal. Sekarang tak berparti? Pejuang politik perlu ada platform, dasar manakah Tun DM berjuang sekarang ini? Bungalow bukan, semi d bukan, teres bukan dan setinggan pun bukan, ibarat orang yang tak ada rumah, atau lebih tepat lagi orang bukan orang, hantu bukan hantu. Ini bahaya!

6. Datuk Zahar dekat PJ Selatan, keluar parti dan masuk PAS, lebih betul dan lebih tak salah, walaupun orang dok kata dia kaya kerana parti dulu, tapi kerana perjuangan dah jauh menyimpang, dia masuk PAS. Inilah dinamakan pejuang politik yang ada dasar dan pegangan yang kukuh dalam perjuangan. Barulah orang tahu Datuk Zahar ni masuk PAS. Mungkin dia tak nak jadi hantu, maka jadi oranglah dia.

7. Perak diserang lagi, tak puas dengan tadika, terkini tandatangan golongan pemerintah katanya tak laku berbanding dengan tandatangan mereka yang bukan memerintah negeri. Pelik tapi benar. Inilah perpecahan yang dianjurkan oleh Tok Haji yang baru balik dari Mekah, rasanya Islam tak galakkan perpecahan berlaku. Sebenarnya, bertindak ikut amarah, kecewa dengan negeri diperintah orang dengan baik dan masih tak mahu iktiraf keputusan rakyat, inilah golongan orang yang tak berpijak dibumi nyata, lagi bahaya!

8. Inilah antara yang tersurat yang sering kita bicarakan, tetapi kita kadang-kadang bisu dan pekak kepada yang tersirat.

Saturday, January 17, 2009

PR - 2, BN - 0

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH! Khas untuk YBYB Mohd Abd Wahid Endut, umumnya untuk seluruh pejuang-pejuang PAS, PKR, DAP, pengundi-pengundi di Parlimen KT, penyokong-penyokong PAS,PKR DAP, dan juga kepada yang bukan penyokong PR.
Setelah PRU12, kita memasuki liga awal PRU13 dengan menyaksikan DSAI membuka jaringan pembukaan di Permatang Pauh (semangat permatang pauh), walaupun PR menghadapi tentangan yang cukup sengit dari BN dengan pemain-pemain handalan tetapi tak merbahaya turun menyarung jersi, seperti Pak Lah (jersi no 1), Najib (jersi no 2), pemain impot 'Mike Tyson' (jersi no 3), KJ (jersi no 10) selaku striker yang hanya pandai menggelecek tapi tak pandai menjaringkan gol dan tak ketinggalan pemain simpanan yang baru dibeli iaitu EMN (jersi no 17) yang hanya pandai 'curi ayam' tunggu depan gol kononnya nak jaringkan gol tapi tak kesampaian.
Malam ini sekali lagi BN tersungkur ditempat sendiri kali ini giliran MAWE membuat jaringan dengan tendangan padu 'first timer'nya menggegarkan gawang BN. MAWE berjaya memukau bukan sahaja penonton sekaligus memukau BN di Kuala Terengganu (semangat permatang di kuala), apatidaknya sejak dari awal lagi BN mengasak dan yakin dapat mempertahankan kemenangannya masa PRU12 lalu. Tetapi pemain-pemain PR merancang taktik dengan kemas dan berkesan serta melaksanakannya dengan bersemangat akhirnya berjaya merobek pertahanan BN sekaligus berjaya mendapatkan gol. Hantaran lintang dari TGHH (jersi no 1) berjaya disempurnakan oleh MAWE (jersi no 10) dengan 'first timer'nya dan menyaksikan gawang BN yang dikawal oleh YAB MB bergegar.
Wahai UMNO/BN, sedarlah bahawa kamu sudah tak diterima rakyat. Curahlah berapa banyak wang pun, rakyat dah cerdik dan takkan tertipu lagi. Kepada pengundi-pengundi di KT aku ucapkan syabas kerana memberi mesej yang jelas kepada UMNO/BN. Yang pasti kamu semua dah dapat sedikit sebanyak untung hasil dari prk ini. Dan perlu diingat janji-janji yang pernah UMNO/BN buat sepanjang kempen mereka perlu ditagih, royalti umpamanya (aku rasa hampeh), peruntukan yang dijanjikan untuk surau2 dan masjid2 (aku rasa tinggal janji juga seperti janji di Permatang Pauh dulu, sampai sekarang tak dapat) dan janji-janji yang lainnya.
Inilah hadiah rakyat KT hasil daripada kempen WAF sendiri (terlepas sudah jawatan senator/menteri di peringkat pusat, lepas ini nak kemana dia, itulah yang dikendong berciciran yang dikejar tak dapat). Inilah balasan rakyat KT hasil daripada pekikan Najib (kredibiliti nak jadi PM dah jatuh, ujian nak jadi PM dah gagal, tak tau lah mungkin markah lulus direndahkan supaya nampak lulus, baik lupakan sahaja). Inilah peringatan dari rakyat KT hasil daripada lolongan KJ, EMN, KSK, MT, MY, HH, AR dan yang sewaktu dengannya. Kepada EMN silalah ke Kelantan buat roadshow (kononnya nak berlawan dengan Husam), aku nak tengok sejauh mana rakyat Kelantan menerima dia, harap EMN kotakan kata-katanya, kalau tidak, EMN ni jenis 'ayam yang pandai berkokok tapi ekor bergelumang dengan tahi'.
Dan inilah hadiah persaraan PM yang paling berharga sekali dari rakyat KT (betul kata Safar Jumaat dalam Harakah keluaran 9-11 Januari 2008). Hadiah ini pastinya menjadi igauan PM disetiap tidurnya.
Akhir sekali aku berharap lebih banyak prk akan diadakan, tak kira walau dimanapun, yang pastinya rakyat yang sudah celik ini akan memastikan UMNO/BN kecundang. Syabas rakyat KT kerana menghayati semangat Permatang.

Saturday, January 10, 2009

..........HINGGA SANGKAKALA DITIUP.


Tak henti lagi Yahudi laknatuLlah ganyang Palestin. Gaza terus dibedil, kecil besar, tua muda, lelaki wanita, menjadi korban. Dunia terpaku dan terkebil-kebil melihat kezaliman ini, negara Arab jiran Palestin membisu seribu bahasa, resolusi PBB tidak dipedulikan, inilah fe'el Yahudi dan sekutunya AS. Luahan hati dan perasaan dunia dipekak badakkan Yahudi dan AS, dunia berdemonstrasi mengutuk mereka, patung-patung dibakar, bendera dibakar dan dipijak-pijak tanda marah, bukan sahaja umat Islam bertindak begini tapi juga yang lain, yang cintakan keamanan, yang ada perikemanusiaan, yang menghormati hak-hak manusia sejagat turut sama mengutuk Yahudi dan AS.
Kita juga di Malaysia, ikut serta, Jumaat kelmarin, banyak tempat berdemonstrasi mengutuk Yahudi laknatuLlah dan AS. Suka aku menyentuh sedikit mengenai kita di Malaysia, dana sedang dikumpul sebagai bantuan kepada Palestin, berdemo sudah dimana-mana, kini laungan boikot produk Yahudi laknatuLlah dan AS semakin lantang kedengaran. Boikot produk Yahudi laknatuLlah dan AS? Aku ada komen dalam blog sahabat-sahabat bloggers mengenai boikot ni.
Aku tertarik dengan artikel albanjari online pada 9/1/2009 bertajuk "18SX: P36 - Antara 'masuk suku' dan 'masuk penuh'", katanya 'masuk suku' pun keluar 5 orang, kalau 'masuk semua'....... (nak tahu lebih lanjut klik Politik Banjar). Begitu juga dalam "kita dan palestin' tazkirah oleh Ustaz Nik Abduh pada 31/12/2008, antara isinya 'Mencintai Palestin adalah tanda iman dan taqwa. Kita mesti mencintainya melebihi kecintaan kita kepada tanah air sendiri.' (lebih lanjut lagi sila klik Nik Abduh).
Lihat pula sidang media kelakar dari Naib Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, yang dibuat selepas demonstrasi kelmarin, katanya 'nak cadangkan kepada kerajaan supaya bertindak menutup selama seminggu KFC, Starbucks dan McD.....'. (boleh dibaca dalam Malaysiakini). Begitu juga di Masjid Negara, 'Melayu Mudah Lupa' berucap supaya, 'rakyat mesti memboikot McD dan Starbucks selama sebulan'. (juga boleh dibaca dalam Malaysiakini).
Kesimpulannya, inilah yang dikatakan kenyataan dari manusia yang masih tidak faham Islam secara menyeluruh. Nak buat kenyataan tapi kurang mendalami Islam dan kekadang sehingga lupa tindakan masa lalu memberi peluang kepada Yahudi laknatuLlah pijak kaki di Malaysia. Yang tu nak boikot seminggu dan yang ni suruh boikot sebulan, apalah sangat seminggu dan sebulan bagi Yahudi laknatuLlah dan AS? Dan ini juga bermakna taqwa dan iman bermusim, adake mana-mana tok guru alim ulama mengajar kita taqwa dan iman bermusim. Pengajaran yang aku dapat dari tazkirah Ustaz Nik Abduh, iman dan taqwa kita mesti konsisten, kuat, teguh, kukuh dan tidak mudah goyah walau dalam apajua situasi dan walau dimana kita berpijak. Begitu juga dari albanjari, masuk suku dapat 5, masuk semua tentu lebih banyak dapat, tak gitu albanjari? Maknanya boikot produk Yahudi laknatuLlah dan AS ini mesti berterusan dan tanpa henti. Wa ima Palestin diserang ke atau tidak diserang. Jangan masuk KFC, jangan makan McD, jangan minum di Starbucks, jangan minum Coke dan banyak lagi, jangan beli produk Yahudi laknatuLlah dan AS, terus menerus. Ingatkan anak cucu dan yang bakal lahir nanti jangan mereka sokong produk Yahudi laknatuLlah dan AS. Apalagi Ustaz Nik Abduh jelaskan, Yahudi adalah musuh Allah, musuh malaikat dan musuh manusia dan seluruh makhluk kecuali syaitan daripada kalangan jin dan manusia.
Oleh itu marilah kita tetapkan iman dan taqwa kita terhadap Allah SWT dan teruskan kesinambungan jihad RasuluLlah menentang Yahudi laknatuLlah dan sekutunya AS. BOIKOT PRODUK YAHUDI LAKNATULLAH DAN AS........HINGGA SANGKAKALA DITIUP!

Tuesday, January 6, 2009

ANTARA GAZA & KT

Semenanjung Gaza di bumi Palestine:
Tiada aman Gaza selagi wujud Israel laknat,
Tiada damai Gaza selagi Israel laknat dibiar,
Terus berdarah Gaza dengan kekejaman Israel laknat,
Dunia tahu Israel laknat mengganas lagi,
Dunia sedar Israel laknat membunuh lagi,
Peluru Israel membedil siapa saja tanpa henti,
Berat sungguh ujian Mu ya Allah,
Bumi Palestine pilihan ujian kepada kami,
Bangkitlah umat Islam dan penghuni bumi,
Hulurkan tangan berjihad menentang Israel,
Pejuang berjuang mengangkat senjata,
Dana dikumpul dari yang berharta,
Doa dipohon dari seluruh umat,
Benci dihati selemah iman,
Boikot produk Israel dan sekutunya,
Tanpa henti, terus menerus, tanpa noktah.
BEBASKAN GAZA!
BEBASKAN PALESTINE!


Kuala Trengganu di bumi Malaysia:
Rakyat dicengkam UMNO/BN,
Rakyat ditindas UMNO/BN,
Rakyat dizalimi UMNO/BN,
Terus merana rakyat dibawah UMNO/BN,
Penting dunia, akhirat di abai,
Pemimpin rasuah dipertahankan,
Pemimpin rendah moral disanjung,
Pemimpin senang, rakyat susah,
Membazir wang untuk nama,
Kebajikan rakyat tak terjaga,
Ujian berat pejuang Islam,
Ujian besar pejuang keadilan,
Ujian sukar pejuang rakyat,
Bangkitlah rakyat Kuala Trengganu,
Ditangan mu pilihan muktamad,
Undi mu penentu kebebasan rakyat,
Undi PAS/PR bahagia dunia dan akhirat,
BEBASKAN KUALA TRENGGANU!
BEBASKAN MALAYSIA!

Saturday, January 3, 2009

SEMANGAT PERMATANG DI KUALA

Gendang telah dipalu, rebab mula digesek, serunai kini ditiup walaupun gelanggang belum dibuka. Regu sudah dipasti, langkah sembah MAW & WF mula dibuka. Namun yang pasti dan jelas, semangat permatang kini di kuala. Angin permatang bertiup di kuala, memecah bayu laut Batu Buruk.
Kini tiba giliran rakyat Kuala Trengganu, buat pilihan yang hak atau yang bathil.
Rakyat KT tentu kini lebih cerdik buat pilihan, PRU12 jadi tauladan, lihat rakyat Kelantan kekalkan kerajaan, lihat rakyat Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor lakukan perubahan.
Sudah pasti ini peluang terbaik untuk buktikan rakyat KT mahu bersama menyusur arus perubahan paradigma. Walaupun hanya pilihanraya kecil.
Wahai rakyat Kuala, jadilah hero ke2 selepas rakyat Permatang, buktikan pada dunia bahawa rakyat Kuala juga mampu & dambakan perubahan.
Ayuh rakyat Kuala, sedarlah dari alpa, bangkitlah dari mimpi, rakyat Kuala harus menolak BN, jadikan PR pilihan.
Bebaskan rakyat Kuala dari belenggu kemiskinan, apa guna negeri kaya tapi rakyat miskin, apa guna masjid yang indah tapi tak di imarahkan, apa guna pemimpin hebat tapi tak mau bela rakyat, apa guna pemimpin Islam tapi tak letak Islam di puncak, apa guna pemimpin UMNO/BN hanya jaga kepentingan diri.
Ayuh rakyat Kuala, kemenangan yang bakal diperolehi ini akan menjadi sebahagian sumbangan rakyat Kuala untuk PR menuju Putrajaya.
Kepada seluruh pemimpin PR & pejuang PR, hadapilah pilihanraya kecil ini dengan semangat juang yang tinggi, kerana cabarannya besar.
SEMANGAT PERMATANG MENJELMA DI KUALA.

Thursday, January 1, 2009

AZAM 1430H & HARAPAN 2008M

Rasanya tak terlambat kot untuk aku menanamkan azam & harapan aku bermula hari ini sebaik melangkah ke hijrah & masehi yang baru lahir. Bukan apa, supaya aku tidak lupa, tidak alpa & tidak lalai untuk mengejar azam & harapan berupa sasaran untuk aku capai dalam hidup sementara aku.
Azam & harapan yang 10 :
1. Ya Allah, berikanlah kesihatan yang baik kepada tubuh badan aku, kerana aku berazam untuk MEMPERTINGKATKAN TAQWA aku kepada Mu,
2. Ya Allah, jangan Kau lalaikan aku dengan kerja dunia semata sehingga aku lupa & lalai, kerana aku berazam untuk melaksanakan TANGGUNGJAWAB KEPADA IBU aku dengan terbaik.
3. Ya Allah, berikanlah kesabaran yang tinggi kepada aku, kerana aku berazam untuk melaksanakan TANGGUNGJAWAB KEPADA ANAK-ANAK aku dengan sempurna.
4. Ya Allah, berikanlah kelapangan masa kepada aku disebalik kesibukan, kerana aku berazam untuk memperbaiki dan mewujudkan SILATURRAHIM dikalangan kerabat keluarga aku.
5. Ya Allah, Kau kukuhkanlah iman aku & kuatkanlah semangat aku, kerana aku berazam untuk lebih lantang MENENTANG KEMUNGKARAN & KEZALIMAN.
6. Ya Allah, berikanlah daya pemikiran yang baik kepada aku, kerana aku berazam untuk LEBIH BERJAYA DALAM BIDANGKERJA aku.
7. Ya Allah, jangan Kau lemahkan tulang empat kerat aku, kerana aku berazam untuk berusaha MENGUKUHKAN EKONOMI aku.
8. Ya Allah, Kau pertemukanlah pasangan hidup yang terbaik untuk aku, kerana aku berazam BERTEMU JODOH & berkekalan hingga akhir hayat aku.
9. Ya Allah, Kau permudahkanlah hidup aku, kerana aku berazam untuk MEMUDAHKAN HIDUP ORANG lain yang memerlukan aku.
10. Ya Allah, Kau berikanlah keinsafan yang tinggi kepada aku, kerana aku berazam untuk TIDAK MENGULANGI PERKARA YANG TIDAK BAIK yang telah aku lakukan sebelum ini.
Amin Ya Rabbal a' lamin.

BERITA TERKINI