Lahir pada 06.10.2008, bertujuan untuk melontar apa saja pandangan, komen, hasil penemuan, pendapat serta cadangan untuk renungan bersama. Yang pasti, isikandungnya bukan untuk memperlekehkan, menjatuhkan, memperkecilkan atau menempelak mana-mana pihak. Yang terkena tempiasannya terimalah dengan sikap terbuka dan profesional demi untuk memperbaiki kelemahan kita.
Tuesday, May 12, 2009
2 TELINGA 1 LIDAH VS 1 TELINGA 2 LIDAH
1. 1 telinga dengan 2 lidah adalah puak yang sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan sendiri maupun kepentingan mereka tanpa mengira baik atau buruk implikasinya. Puak ini juga sanggup membelakangi hak-hak orang lain asalkan individu atau mereka mendapat apa yang mereka hajatkan. Lebih buruk lagi puak ini kerana 1 telinga, mereka angkuh dan sombong dipekakkan telinga yang 1 itu dari mendengar nasihat dan pendapat orang lain baik nasihat dari kalangan puak mereka sendiri. Dengan 2 lidah mereka, mereka terus cakap tak serupa bikin, 1 lidah bercakap agak baik tapi dalam masa yang sama lidah yang 1 lagi biadap tuturkatanya. Asal kuasa dapat dimiliki, apa saja yang mereka lakukan walau bertentangan dengan tata susila, adab timur maupun perundangan adalah baik bagi mereka.
2. Hamba Allah SWT yang sempurna punya 2 telinga dengan 1 lidah, adalah golongan yang bila mendengar, bijak menilai yang mana baik dan buruk, nasihat dan pandangan orang lain akan didengar dan dinilai, disusuli dengan tindakan yang terbaik. Dengan lidah yang 1, segala pertuturan diatur agar terserlah adab dan santun, tidak berdolak-dalik jauh sekali berdusta. Puak yang ini lebih suka kepada mesyuarah, diskusi, perbincangan dan sebagainya sebelum bertindak. Bertindak pula penuh hati-hati, sarat santunnya, adab diutamakan agar 'tepung tak berselerak, rambut tidak putus'.
3. Kemelut di Perak walau tidak semahal emas, melimpah dengan segala macam budaya samseng. Dek kuasa yang diburu, sanggup menonjolkan sifat dan sikap yang sebenar mereka dari spesis 1 telinga 2 lidah. Rakyat Perak terkedu, terpinga-pinga dengan peristiwa yang penuh bersejarah ini. Yang jelas dan nyata, rakyat Perak semakin loya, meluat, benci, menyampah dan kecewa dengan perangai spesis 1 telinga 2 lidah ini. Sejarah ini pastinya akan tertanam disanubari rakyat Perak selama-lamanya, masa saja akan menentukan hukuman akan dijatuhkan oleh mahkamah rakyat pada setiap pilihanraya, baik PRU atau PRK.
4. Ku Li dah beberapa kali melontarkan nasihat dan pandangan (dari puak mereka sendiri), yang terbaru, Ku Li nasihatkan supaya DUN Perak dibubarkan, biar rakyat menjadi hakim, namun dek kerana 1 telinga, manakan dapat didengar mereka. Dah la 1 telinga, dipekakkan pulak, Ku Li ibarat menyalak bukit di Gua Musang.
5. Sejarah demi sejarah diukir, hari ini rayuan Zambri memohon penangguhan diterima, jelas sudah spesis 1 telinga 2 lidah ini tidak mahu melihat Perak berada dalam keadaan aman sejahtera, malang sungguh bagi rakyat Perak mempunyai spesis 1 telinga 2 lidah yang tegar ini. Jika berterusan begini, kemana halatuju negeri Perak, ekonomi tak terurus, rakyat tak terbela, pembangunan tempang, pelabur lari, urustadbir tempatan lintang pukang, dan banyak lagi agenda bakal cacat. Tindak tanduk spesis 1 telinga 2 lidah ini bakal menidakkan Perak Darul Ridhuan, tapi ingin membina Perak Darul Kacau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment