Wednesday, May 20, 2009

PEJUANG NERAKA


Didalam sirah Rasulullah S.A.W., di ceritakan bagaimana seorang pejuang Islam yang bernama Qozman berjuang dengan hebat dan cekap di medan perang, sehinggakan berjaya menewaskan siapa saja musuh didepannya. Kehebatan Qozman ini dipuji dan disanjung oleh sekalian yang ada sehingga ada yang berkata, "tiada diantara kita yang besar jasanya selain dari Qozman." Kata-kata ini didengar Nabi S.A.W., dan menjawab, "sebenarnya dia itu golongan penduduk Neraka." Setelah mendengar jawapan Nabi, seorang yang bernama Aktsam bertekad untuk mengetahui akan kebenarannya.

Dimedan perang seterusnya, Aktsam mengekori Qozman bertempur menghadapi musuh Islam, kaum Musyrik. Setelah lama bertempur, akhirnya Qozman terkena libasan pedang lawan dan cedera parah. Dalam keadaan cedera yang parah Qozman meletakkan bilah pedangnya ke tanah dan menghalakan mata pedang ke tubuhnya lalu membunuh diri. Dalam keadaan tenat, Qozman berkata, "demi Allah! aku berperang bukan kerana agama, tetapi kerana menjaga kehormatan kota Madinah dan kerana membela kehormatan kaumku."

Selesai berperang, Aktsam segera berjumpa Nabi S.A.W., "Asyhadu, engkau sebenarnya Rasul Allah" katanya. Aktsam menceritakan apa yang dilihatnya mengenai Qozman kepada sekalian yang ada. Nabi S.A.W. pun memberikan nasihat, "seorang yang beramal sebagai amalan penduduk Syurga pada penglihatan orang ramai, sebenarnya beliau adalah penduduk Neraka, begitulah juga seseorang yang kelihatannya melakukan amalan penduduk Neraka, sebenarnya beliau adalah penduduk Syurga."

Oleh itu berjuanglah dengan berani kerana Allah, bukan untuk mendapat pujian dan sanjungan orang ramai semata-mata. Amalan kerana Allah tidak terhenti dengan celaan orang ramai sebaliknya tidak akan bertambah sekiranya mendapat pujian dan sanjungan. Jangan sekali-kali berlagak sombong dan angkuh dari amalan kita tetapi berjuanglah dengan penuh keikhlasan kerana ikhlas itu adalah tanda hati yang suci. Ingatlah semuanya ditangan Allah S.W.T.

No comments:

BERITA TERKINI